Pages

Sunday, November 11, 2007

Merana Menahan Kesakitan: Dari Perspektif Psikologi

Kes scenario :

Pn Sham , 40 tahun yang bekerja sebagai pustakawan telah mengalami sakit belakang semenjak 3 tahun dahulu kerana mengangkat terlalu banyak buku. Pada awalnya kerana kesakitan itu, beliau tidak dapat bekerja selama 5 bulan. Setelah mendapat fisioterapi dan senaman beliau kembali ditugaskan di bahagian kaunter (bekerja ringan). Setelah bekerja, tanpa senaman kesakitannya berterusan dan terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit. Beliau merasa semakin sedih apabila tidak dapat melakukan kerjanya dengan baik . Begitu juga di rumah. Banyak bantuan diperlukan daripada suaminya untuk menjaga anak dan mengurus rumahtangga. Beliau semakin sedih dan sukar tidur memikirkan masalahnya. Selera makannya kurang dan berat badannya semakin merosot. Beliau semakin merana menahan kesakitan. Akhirnya beliau memohon untuk berhenti bekerja dan diberi pampasan kerana keilatan tersebut.


Adakah anda telah lama merana menahan kesakitan akibat penyakit tertentu seperti Pn. Sham?


Di antara kesakitan yang biasa menyebabkan anda mendapat rawatan doktor adalah seperti sakit-sakit badan, sengal-sengal tulang, sakit kepala , migraine, sakit belakang , sakit sendi dan sebagainya.

Kesakitan akut vs kesakitan kronik


Kesakitan boleh dibahagikan kepada dua : kesakitan sementara (akut) dan kesakitan berpanjangan (kronik).

Kesakitan Kronik dan Masalah Psikologi


Selalunya, pesakit yang telah lama menahan kesakitan (kesakitan kronik) bukan sahaja akan menderita kerana kesakitan tersebut tetapi juga akan mengalami tekanan/stress atau lebih teruk lagi kemurungan (depression).

Kemurungan merupakan penyakit yang boleh dirawat dan diantara simptomnya adalah merasa sedih, tidak berminat, kurang motivasi, letih, hilang selera makan, turun berat badan, gangguan tidur, merasa bersalah, merasa diri tidak berguna, ingin membunuh diri, kurang penumpuan dan banyak lagi. Walaupun kemurungan ini boleh dirawat ,biasanya ia sukar dikesan kerana pesakit mahu kesakitannya dihilangkan terlebih dahulu.
Sebenarnya, kesedihan melampau atau kemurungan akan menyebabkan kesakitan yang anda alami menjadi lebih teruk dan berpanjangan lagi kerana bahagian yang tercedera tidak mendapat proses pemulihan yang berterusan akibat kurang aktiviti dan senaman atau kurang pergerakan. Individu yang murung kurang mendapat khasiat pemakanan yang cukup untuk proses penyembuhan kerana kurang selera makan. Ia seolah-olah sebuah kitaran (vicious cycle) yang akan menerukkan dan memanjangkan kesakitan anda.

Masalah psikologi bukan sahaja menerukkan kesakitan anda malah akan mengurangkan keberkesananan ubat-ubatan yang diberi. Ini adalah kerana tekanan/stress akan menyebabkan perubahan fisiologi system saraf yang mengawal kesakitan.

Bukan sahaja tekanan dan kemurungan terkini tetapi juga peristiwa masa lampau seperti penderaan fizikal atau penderaan seksual boleh mendedahkan anda kepada kesakitan berpanjangan.

Tingkah laku manusia boleh berlaku secara sedar atau tanpa anda sedari. Kesakitan berpanjangan juga boleh berlaku akibat tingkah laku tersebut. Primary gain atau tingkahlaku tanpa disedari berlaku untuk mengurangkan keresahan akibat kesakitan tersebut. Manakala (secondary gain) tingkah laku untuk mendapat lebih perhatian, mendapat pampasan atau dilepaskan daripada tanggungjawab juga boleh berlaku menyebabkan kesakitan berpanjangan. Seperti Pn. Sham sama ada beliau sedari atau tidak sedari, dengan kesakitan yang berpanjangan tersebut beliau telah diberikan kerja ringan, mendapat bantuan daripada suami untuk menguruskan rumah dan diberikan imbuhan keilatan. Sebenarnya, dengan primary gain dan secondary gain kesakitan yang beliau alami akan lebih berpanjangan.


Rawatan


Jika anda telah mengalami masalah kesakitan yang berpanjangan , anda perlu mendapat perhatian daripada pakar di Pain Management Clinic. Kesakitan Kronik tidak dapat di kawal dengan hanya mengambil ubat-ubatan penahan sakit. Malahan anda mungkin akan terdedah kepada kesan buruk atau side effect ubat tersebut.

Rawatan yang berkesan untuk mengurangkan kesakitan kronik memerlukan kerjasama daripada banyak pihak terutamanya pesakit sendiri, pakar perubatan, fisioterapi dan pakar psikologi.
· Pakar perubatan akan memberi diagnosis tepat penyakit dan
berikan ubat-ubatan dan rawatan yang terbaik untuk anda.

· Fisioterapi akan mengajar anda senaman yang terbaik, berpatutan
dan tepaat pada bahagian yang sakit.

· Pakar psikologi/psikitri bukan sahaja akan memberi kaunseling tetapi
juga psikoterapi untuk mengubah tingkah-laku anda , meningkatkan
motivasi untuk meneruskan rawatan dan fisioterapi, membantu
menyelesaikan masalah yang memanjangkan kesakitan anda serta merawat
kemurungan anda.





Dr. Salmi Razali
Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Psikiatri
Fakulti Perubatan, UiTM, Shah Alam.

No comments: