Pages

Friday, April 25, 2008

PTSD
Apakah itu posttraumatic stress disorder (PTSD)?
Posttraumatic stress disorder (PTSD) adalah kecelaruan emosi berpanjangan yang berlaku selepas seseorang berhadapan dengan sesuatu tragedi di dalam kehidupan mereka. Trauma ini sangat menakutkan, mengancam nyawa dan merbahaya kepada individu atau keluarga individu tersebut.
Contoh trauma tersebut adalah seperti menjadi menjadi mangsa kemalangan, mangsa rogol, mangsa bencana alam seperti tsunami,

Apakah tanda-tanda yang membolehkan seseorang didiagnos sebagai mengidap PTSD?
Pakar psikiatri menggunakan DSM IV atau ICD 10 sebagai panduan untuk mendiagnos seseorang dengan PTSD. Di antara kriteria PTSD adalah:

1) Pendedahan (Exposure) terhadap trauma. Pendedahan ini melibatkan individu tersebut berhadapan secara langsung atau tidak langsung (seperti menyaksikannya sahaja) trauma tersebut,
2) Merasai kembali ( Re-experience) trauma. Individu tersebut merasai kembali seolah-olah trauma tersebut berlaku kembali terhadap dirinya. Ini termasuk mempunyai mimpi ngeri trauma, atau flashback tentang trauma sentiasa menyelubunginya
3) Mudah terkejut dan resah ( Hyperarousal). Individu menjadi mudah terkejut dengan sebarang perkara yang barkaitan dengan trauma, tersentuh dan resah gelisah, mula menjauhkan diri dari orang lain, cepat marah, susah tidur dan boleh mendapat anxiety dan kemurungan
4) Mengelak perkara berkaitan trauma ( Avoidance). Individu tersebut sedaya upaya tidak mahu mengingati apa-apa perkara yang berkaitan dengan trauma. Contohnya, jika PTSD berlaku selepas kemalangan jalan raya, individu itu cuba mengelak menaiki kenderaan, tidak melalui kawasan kemalangan dll.
5) Tanda-tanda di atas telah berlaku selama lebih sebulan selepas terdedah kepada trauma. Ia menyebabkan fungsi individu seperti pekerjaan, tugas seharian, hubungan dengan keluarga dan orang lain terjejas. Ia disahkan tiada kaitan dengan penyakit fizikal, pengambilan dadah atau ubat.

Berapa kerapkah PTSD?
Lebih kurang 7%-8% daripada individu mengidap PTSD. Peratusan meningkat kepada sehingga 10%-30% di kalangan mangsa rogol .

Apa berlaku jika PTSD tidak dirawat?
50% pesakit PTSD boleh mendapat kemurungan dan ini boleh mendedahkan mereka kepada perasaan ingin bunuh diri.
50% pesakit PTSD terlibat dengan ketagihan alcohol atau dadah seperti ubat tidur untuk menghilangkan kerisauan dan mengatasi masalah tidur mereka.

Bagaimana PTSD dirawat?
Rawatan Kecelaruan PTSD adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual. Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.Pesakit yang mengalami kecelaruan PTSD jarang sekali perlu dimasukkan ke hospital .
Ubat-ubatan
Ubat antianxiety seperti lorazepam (ativan) , alprazolam ( xanax) perlu untuk menangani keresahan dan serangan panik tetapi diberi untuk tempoh yang singkat . Pesakit harus sedar ubat ini boleh menyebabkan ketagihan.
Ubat antidepressant perlu diberi dan perlu dalam jangkamasa lama . Ia bolah bertindak sebagai antianxiety dan ia tidak menyebabkan ketagihan. Jika kecelaruan PTSD terlalu teruk sehingga pesakit mengalami episod kemurungan ia perlu juga diberi.

Rawatan Psikososial
Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation) Menyelesaikan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan


Psikoterapi
Behavioral therapy seperti teknik relaksasi, teknik pernafasan perlu dipraktikkan selalu
Cognitive Behavioural Therapy (CBT) telah terbukti terbaik dan efektif untuk pesakit kecelaruan PTSD
Exposure Therapy: Mendedahkan semula pesakit kepada trauma secara imaginasi secara sistematik dan berterusan agar mereka mengetahui bahawa imaginasi tersebut hanyalah dalam kotak fikiran mereka dan tidak langsung merbahaya. Ini boleh membantu mereka lali dengan trauma yang telah dialami
Stress management: Menguruskan stress dengan baik
EMDR: Eye movement desensitization reprocessing. Pesakit menceritakan trauma yang telah berlaku dengan mata memberi tumpuan kepada pergerakan jari terapis


Monday, April 21, 2008

UJI MINDA OCD

Benar mengenai OCD
a) Pesakit OCD kerap mendapat kemurungan
b) rawatan CBT dilakukan adalah berkesan
c) OCD melambatkan aktiviti
d) OCD boleh berlaku di kalangan kanak-kanak
e) OCD tidak perlu rawatan

Jawapan: BBBBS

Kecelaruan Obsessif Kompulsif ( obsessive compulsive disorder /OCD)
Was-was
Pernahkah anda merasa ragu-ragu atau was-was? Apakah yang anda lakukan jika anda was-was? .
Di bawah diperjelaskan bagaimana OCD merupakan penyakit was-was.
Contoh 1: Anda merasa was-was semasa mengambil air sembahyang . Di dalam hati anda berulangkali berkata-kata" sudah basuh tangan ke belum, rasanya sudah, rasanya belum (obsession)" Lantaran perasaan was-was ini anda akan mengulang prosedur mengambil sembahyang ini sekali lagi (compulsion). Jika anda mengulang prosedur itu banyak kali sehingga mengambil masa yang lama dan melambatkan aktiviti anda. Ini dianggap OCD.
Contoh 2: Anda seorang yang terlalu pembersih. Di kotak kepala anda hanya terfikir kuman berada di merata tempat. Kuman ada di tangan kerana anda telah memegang kerusi di dalam bas yang telah dipegang orang lain. Mungkin orang itu memgang najis dan tidak cuci tangan. Fikiran ini menghantui anda, berulang-ulang sehingga anda menjadi resah dan risau ( obsession) . Kerisauan anda berkurang jika anda mula mencuci tangan ( compulsion). Jika anda kerisauan ini berterusan dan anda mencuci tangan anda berulang kali sehingga mengambil masa yang lama ini dipanggil OCD. Terdapat pesakit yang mencuci tangan 5-6x sehingga tangan ekzema. Ada yang mandi sehingga 2-3 jam sehingga lewat ke kuliah.
Salahkah menjadi pembersih. Bukankah kebersihan dituntut agama?
Memang kebersihan dituntut agama tetapi jangan keterlaluan sehingga anda membazir air, sabun dan merosakkan tangan anda. Jangan diturut penyakit was-was!
Apa itu OCD?
Obsessive compulsive disorder adalah suatu penyakit jiwa yang perlu dirawat. (RUJUK GAMBARAJAH)
Obsession adalah :
1) fikiran, bayangan, atau imej yang kerap berulang-ulang menghantui fikiran anda . Ia menganggu anda sehingga membuatkan anda resah gelisah dan bercelaru.
2) anda tahu bahawa fikiran ini datangnya adri anda sendiri, bukannya dari orang lain atau ap jua kuasa lain yang memaksa anda
3) ia bukan sekadar kerisauan kerana anda mempunyai masalah dalam kehidupan
4) anda cuba untuk menghentikan dan mengurangkan fikiran ini tetapi amat sukar
Compulsion adalah:
1) untuk menghilangkan keresahan dan anxiety akibat obsesi di atas, anda mesti melakukan sesuatu dalam bentuk apa jua sama ada perbuatan atau fikiran lain. Disebabkan obsesi ini datang berulang, maka anda akan berulang kali melakukan perbuatan yang sama.
2) anda mengetahui bahawa perbuatan anda ini keterlaluan
Apabila obsessi dan kompulsi berlaku anda akan merasa teramat tertekan sehingga fungsi normal anda seperti hubungan dengan orang lain, kerja-kerja seharian dan lain-lain aktiviti terganggu. Inilah OCD
Tanda OCD yang kerap adalah :
kadar Obsesi:
-Pemikir tentang kebersihan (43%)
-Ketakutan tentang sesuatu mungkin berlaku seperti kebkaran, kematian tersayang dll (24%)
-Terlalu mementingkan sesuatu disusun dengan teliti cth. mengatur kasut, menyusun pinggan dll (17%)
-Memikir tentang keagamaan ( 13%)
-Memikir tentang kelakuan seks, imej seks dan pornografi( 4%)
kadar kompulsi:
-Perbuatan mencuci tangan, mandi,gosok gigi,cuci bilik air dll (85%)
-Buka tutup pintu, duduk bangun (51%)
-Menyusun barang ( 17%)
-Menyimpan benda buruk dan usang (11%)
OCD juga boleh menyebabkan kemurungan dan berkait dengan penyakit Tourette's
Berapa kerap OCD berlaku?
Secara umum OCD boleh berlaku sehingga 2-3% daripada populasi umum dalam setahu. Ia lebih kerap daripada skizofrenia i.e 1%.
Di kalangan orang dewasa kaum lelaki dan perempuan mempunyai kadar yang sama untuk mendapat OCD.
Di kalangan remaja, lelaki > perempuan
Ia boleh berlaku seawal 2 tahun tetapi sukar di kesan.
Apakah penyebab OCD?
Penyebab tepat tidak diketahui tetapi banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa ia berlaku kerana interaksi biopsikososial
Faktor biologi:
1) Disregulasi serotonin. Kajian telah menunjukkan bahawa metabolit serotonin iaitu asid 5-hidroksiindolasetik meningkat di dalam cecair otak (CSF) pesakit OCD
2) Scan otak (PET Scan) menunjukkan peningkatan aktiviti otak di bahagian lobus frontal ,nukleus kaudat dan singulum di basal ganglia.
3) Kajian genetik menunjukkan risiko mendapat penyakit ini bertambah jika ada keluarga terdekat pernah mengidap penyakit ini.
Faktor Psikososial
1) 15-35% pesakit OCD adalah di kalangan mereka yang obsessif iaitu terlalu menjaga kebersihan, terlalu teliti, terlalu menepati masa dan terlalu bercita-cita tinggi.
2) faktor psikodinamik- menurut Sigmud Freud OCD berlaku kerana individu yang mengidap OCD gagal menggunakan defence mechanism berikut: isolation, undoing dan reaction formatiom ( RUJUK DEFENCE MECHANISM)
Apakah rawatan untuk OCD?
Rawatan adalah berdasarkan prinsip biopsikososial.
Ubat-Ubatan; (Dos yang lebih tinggi diperlukan berbanding dos untuk kemurungnan)
1)Ubat antidepressant boleh bertindak sebagai antiOCD. Contohnya:
-Kumpulan SSRI: Fluvoxamin (Luvox), Fluoaxetine (Prozac), Sertraline ( Zoloft),
-Kumpulan TCA: Clomipramine
-Kumpulan SNRI: venlafaxine ( effexor)
2)Ubat antianxety: diberi cuma jika pesakit mengalami keresahan melampau.
Psikoterapi
-telah terbukti keberkesanan Cognitive behavioural therapy (CBT) dan Exposure Response Prevention(ERP) untuk OCD
-tangani masalah sosial seperti masalah dengan keluarga, menangani kemarahan, cara penyelesaian masalah dll.
-

Friday, April 18, 2008


KANAK-KANAK DAN FOBIA

Jika saya mempunyai anak yang tidak mempunyai perasaan takut, saya patut ketakutan. Ketakutan terbentuk sejak dilahirkan dan berkembang sepanjang kehidupan kita di dunia ini. Ia menjadi masalah apabila ketakutan tidak dapat dikawal dan menghalang kita dari hidup seperti orang normal.
Ketakutan yang berlaku kepada kanak-kanak jika ia tidak ditangani segera pada peringkat awal boleh berlanjutan sehingga mereka dewasa dan menjadi individu yang mudah mengalami anxiety disorder.

KETAKUTAN DAN FOBIA
Kenapa kanak-kanak mempunyai perasaan takut?. Perasaan takut adalah normal dianugerahkan tuhan sebagai pertahanan badan kita terhadap musuh. Secara semulajadi kanak-kanak mempunyai perasaan untuk mengetahui sesuatu yang baru (explore). Semasa proses ini ketakutan boleh timbul sesuatu perkara di anggap ancaman.
Kepada orang dewasa menakutkan kanak-kanak semasa berada dalam gelap mungkin menyeronokkan tetapi ketakutan boleh timbul kepada kanak-kanak dan akhirnya menjadi fobia.

MENANGANI FOBIA PADA KANAK-KANAK
Pencegahan fobia
a) Jangan kaitkan sesuatu situasi dengan perkara yang menakutkan kanak-kanak .
contohnya;
1) “berada dalam gelap (situasi) nanti ada hantu (perkara yang ditakuti)”. Ini akan menimbulkan fobia kepada kegelapan walaupun tiada hantu
2) “menonton rancangan TV yang menakutkan (perkara yang ditakutkan) ketika guruh berdentum (situasi)” Ini akan menimbulkan ketakutan ketika guruh berdentum walaupun tiada rancangan TV yang menakutkan
3) “meletupkan belon ( perkara yang ditakutkan) semasa bunyi enjin motor yang kuat (situasi). Ini akan menimbulkan ketakutan semasa mendengar enjin motor walaupun tiada belon dipecahkan

b) dedahkan kanak-kanak kepada perkara yang menakutkan secara perlahan dengan cara yang selamat
Contohnya:
Tujuan: Untuk mengelakkan anak takut mandi kolam
Langkah:
1) Pastikan keselamatan. Gunakan pelampung atau jaket keselamatan
2) Bawa anak bermain di gigi air bersama mainan yang digemarinya
3) Setelah leka bermain peluk anak dan bawa ke dalam air pada jarak yang tidak berapa jauh dari gigi air bersama mainan dan hilangkan keresahannya dengan bermain bersama
4) Setelah keresahannya hilang, peluk anak anda dan cuba bawa ke bahagian kolam yang lebih dalam bersama mainan dan hilangkan keresahan dengan bermain bersama.
5) Jangan risau jika pada awalnya kanak-kanak merasa risau dan ketakutan. Perasaan normal ini akan kembali reda apabila mereka merasa selamat dan gembira bermain bersama anda
6) Jangan kaitkan sesuatu menakutkan semasa proses ini. Contohnya. Memeranjatkan kanak-kanak itu dengan letupan belon, cuba menenggelamkan kanak-kanak tersebut . Perkara yang menakutkan ini akan menyebabkan mereka ketakutan berada di dalam kolam di kemudian hari

Merawat fobia kanak-kanak
Contoh: kanak-kanak yang takutkan bunyi bising enjin motor bapanya atau kenderaan lain. Ia menjadi masalah kepada si bapa kerana motor adalah kenderaan utamanya.
Perkara ini mungkin berlaku secara semulajadi atau peristiwa lama yang dialami oleh kanak-kanak itu menyebabkan kaitan (association) antara sesuatu yang menakutkan dengan bunyi bising enjin motor.
Rawatan :Disensitasi Sistematik ( Systematic Disensitization)
Langkah: ( JANGAN MELANGKAH KE NO SETERUSNYA JIKA LANGKAH AWAL BELUM BERJAYA)
1) Bawa kanak-kanak bersama mainan yang paling digemarinya. Pastikan ia dalam pelukan ibu. Tunjukkan kepadanya motor yang berada tidak jauh daripada anak anda itu( lebih kurang 20 meter)
2) Bapa menghidupkan enjin motor . Ibu dan anak masih berada di jarak 20 meter. Ibu perlu menenangkan anak dalam pelukannya dengan mainan yang paling digemarinya jika anak mula resah. Jangan risau keresahan ini akan hilang setelah beberapa minit anak anda gembira bermain. Ibu jangan cepat putus asa.
3) Bapa datang dengan motor yang bising tadi pada jarak 15 meter dari ibu dan anak. Ibu perlu menenangkan anak seperti cara di atas. Ibu jangan cepat putus asa.
4) Bapa datang lagi dekat pada jarak 10 meter dan operasi di atas diulang sehingga anak boleh menunggang motor bersama ibu dan bapa
5) Perlu diingat ibu dan bapa jangan mudah putus asa jika anak mula ketakutan. Perasaan ini akan hilang dan akan berkurangan setelah anda beri masa kepada anak untuk membiasakan diri. (RUJUK GAMBARAJAH ATAS)

Tidak semua ketakutan berakhir dengan fobia. Ketakutan boleh hilang secara semulajadi kerana kita secara tidak disedari belajar bahawa perkara yang menakutkan itu sebenarnya tidak membahayakan diri kita. Alah bias tegal biasa.
UJI MINDA :FOBIA

Berikut adalah benar mengenai fobia:

a) Fobia lebih kerap berlaku kepada lelaki
b) Ketakutan pesakit fobia adalah disengajakan
c) Dirawat dengan berkesan melalui psikoanalisis
d) Agorafobia lebih kerap berbanding fobia spesifik
e) Fobia tidak berlaku kepada kanak-kanak

(SSSSS)

Benar menegnai Agorafobia:

a) Ketakutan berada di tempat yang ramai orang
b) Fobia yang paling kerap berlaku
c) Berlaku pada pesakit kecelaruan panik
d) Kerap pada orang tua
e) Dirawat dengan lorazepam

(BSBSB)


Phobia ( Fobia )

Fobia boleh dibahagikan kepada 2 iaitu:

1)Fobia spesifik( specific phobia)

2) Fobia sosial (social phobia)

Fobia adalah sejenis penyakit mental. Seseorang dikatakan mengidap fobia spesifik apabila individu itu (RUJUK GAMBARAJAH DI ATAS) :

1) mempunyai perasaan teramat takut (sehingga boleh mendapat serangan panik) yang berterusan. Bagi kanak-kanak mereka mungkin menangis, tantrum dan tidak mahu lepas dari ibu)

2) perasaan takut ini berlaku apabila individu itu terdedah kepada sesuatu benda tertentu sahaja seperti ular, kucing, darah, tempat tinggi, menaiki kapal terbang dan macam-macam lagi

3) individu itu sedar ketakutannya adalah keterlaluan berbanding orang lain

4) individu sedaya upaya cuba mengelak daripada berhadapan atau menyaksikan benda yang menakutkan itu dan jika tidak ketakutannya akan berterusan

untuk individu yang di bawah 18 tahun ketakutan ini berterusan lebih 6 bulan. Diagnosis lain yang melibatkan ketakutan seperti kecelaruan obsessif kompulsif (OCD), PTSD , hipokondriasis, dll perlu diselidiki sebelum diagnosis ini di buat.

Fobia sosial pula adalah apabila benda yang ditakutkan oleh individu itu adalah takut berhadapan dengan orang ramai terutamanya apabila dikehendaki berucap di khalayak ramai. Mereka takut orang ramai akan mengkritik dan memberi tanggapan negatif kepada diri mereka.

Adakah fobia suatu penyakit?

Ya, fobia adalah suatu penyakit mental. Individu yang mempunyai fobia :contohnya fobia kepada jarum suntikan atau darah akan mengelak daripada prosedur tersebut. Rawatan yang lengkap untuk dirinya tidak dapat diberi. Bagi individu seperti pengarah syarikat contohnya, beliau akan mengelak untuk bermesyuarat dengan pelanggannya jika ia dilakukan di bangunan tinggi seperti KLCC dan ini mengurangkan produktiviti syarikat. Pelajar universiti contohnya, jika mengidap fobia sosial tidak dapat menjalankan presentasi dengan baik berbanding rakan yang lain.

Berapa kerapkah fobia berlaku?

Spesifik fobia lebih kerap berlaku berbanding fobia sosial. Ia 2X lebih kerap berlaku pada wanita.

Perlukah ia di rawat?

Fobia perlu dirawat jika ia telah mengganggu kesihatan, tugas atau fungsi normal individu dan menghalangnya dari maju ke hadapan seperti orang lain.

Di antara rawatan untuk fobia:

Psikoterapi:

A. Rawatan paling utama adalah " alah bisa tegal biasa". Psikoterapi : Cognitive Behavioural Therapy (CBT) mengamalkan prinsip ini.

1)Sebelum pesakit didedahkan kepada benda yang ditakuti, Pesakit akan diajar cara menangani serangan panik seperti relaksasi pernafasan dan relaksasi otot secara progresif. Pesakit juga akan diterangkan dengan lanjut tentang terapi ini

2) Pesakit akan didedahkan dengan benda yang ditakuti secara beransur-ansur mengikut hiraki dan dilakukan secara sistematik( systematic desensitization) . Ini bertujuan mengurangkan ketakutan secara perlahan.

Pesakit yang mampu menahan ketakutan boleh juga didedah kepada benda yang ditakuti secara terus ( flooding) tetapi terapis perlu berhati-hati kerana pesakit mungkin mendapat serangan panik yang teruk.

Contoh terapi disensitasi sistematik untuk pesakit takut menaiki lif;

sesi pertama: relaksasi pernafasan dan relaksasi otot

sesi kedua: praktikal relaksasi dan penjelasan teknik rawatan CBT

sesi ketiga: bersama pesakit ke kawasan lobi lif & Praktikal relaksasi di lobi lif

sesi keempat: bersama pesakit berada di dalam lif sehingga tingkat 5 & praktikal relaksasi

sesi kelima: bersama pesakit berada di dalam lif sehingga tingkat teratas & praktikal relaksasi

sesi keenam: Jika pesakit telah bersedia maka pesakit akan berada sendiri di dalam lif dan terapis menunggu di tingkat 5 & praktikal relaksasi

sesi ketujuh: Jika pesakit telah sedia teruskan dengan pesakit sendiri di dalam lif sehingga ke tingkat teratas & praktikal relaksasi

sesi kelapan: Terapis hanya menunggu pesakit melakukannya sendiri. Galakkan relaksasi

B. Lain-lain masalah psikososial pesakit perlu juga ditangani sewajarnya.

Ubat-ubatan

Psikoterapi adalah pilihan utama, namun terdapat ubat-ubatan seperti anti anxiety ( alprazolam , lorazepam) yang dapat mengurangkan fobia. Tetapi ia perlu diingat ubat ini hanya diberi kepada yang sangat memerlukan dan ia boleh menyebabkan ketagihan.

Pemakanan

Elakkan minuman menyebabkan gemuruh seperti kafein, kopi, coke dll.

Monday, April 14, 2008

UJI MINDA
Benar mengenai Kecelaruan Panik:
a) salah satu tanda adalah derealization
b) sakit dada pada pesakit panik disalah anggap sebagai sakit jantung
c) CBT adalah tidak baik untuk pesakit panik
d) pesakit boleh mendapat kemurungan
e) pesakit kecelaruan panik adalah gila
( Jawapan BBSBS )

Benar mengenai kemurungan:
a) lebih ramai wanita berbanding lelaki kemurungan
b) kemurungan tidak perlu dirawat
c) kadar bunuh diri tinggi di kalangan pesakit kemurungan
d) kemurungan selepas bersalin merbahaya untuk anak
e) ubat antidepressant menyebabkan ketagihan
(Jawapan BSBBS)

KECELARUAN PANIK (PANIC DISORDER)


Serangan panik atau panic attack adalah normal tetapi jika ia menjadi teruk sehingga menyebabkan fungsi seharian seperti tugas rumahtangga, pekerjaan dan hubungan dengan orang lain terganggu maka ia bukan lagi normal. Ia dipanggil Kecelaruan panik atau panic disorder. Keceleruan panik atau panic disorder adalah suatu penyakit mental yang perlukan rawatan dari pakar psikologi atau psikiatri.








Kriteria Kecelaruan Panik


Gambarajah di atas menggambarkan kriteria untuk kecelaruan panik.


Pesakit yang mengidap kecelaruan panik akan tiba-tiba mendapat serangan panik tanpa penyebab yang mencetus panik itu. Mereka tiba-tiba rasa sakit dada, susah bernafas dan mempunyai lain-lain tanda serangan panik. Mereka akan mempunyai fikiran negatif seperti perasaan mahu pengsan, seolah-olah rasa nak mati atau nak jadi gila. Serangan panik berterusan bergantung kepada keterukan pesakit. Kebanyakannya serangan panik menjadi maksima selepas 10 minit. Kemudian serangan beransur kurang dan pulih.

Pesakit seterusnya akan risau bahawa serangan akan berulang kembali. Mereka risau akan mendapat penyakit jantung, sakit paru-paru dan sebagainya kerana tanda-tanda serangan panik ini mirip serangan jantung dan banyak penyakit lain.


Serangan panik yang berulang sehingga mengganggu fungsi pesakit dan memenuhi kriteria kecelaruan panik perlu dirawat segera.

Agoraphobia

Agoraphobia selalu berlaku kepada pesakit dengan kecelaruan panik. Mereka mempunyai serangan panik apabila berada di kawasan yang tertutup dan mereka mempunyai fikiran bahawa kereka akan terperangkap dan sukar untuk melepaskan diri. Contohnya pesakit panik apabila berada dalam bas, panik berada di supermarket dan sebagainya. Mereka cuba mengelak daripada berada di kawasan tersebut .

Senario Pesakit Kecelaruan Panik

" Encik Ali ( bukan nama sebenar) berumur 40 tahun tiba-tiba merasa sakit dada dan berdebar-debar. Sakitnya menakutkan beliau dan beliau segera ke klinik untuk pemerikasaan darah dan ujian ECG. Ujian yang dilakukan adalah normal. Beliau tidak berpuas hati dan pulang ke rumah. Sekali lagi keesokan harinya sakit dada dan debaran itu berulang. Beliau segera berjumpa doktor pakar. Ujian susulan dibuat seperti Xray, echocardiogram dan stress test tetapi masih normal. Beliau sering ponteng kerja dan merasa susah hati dengan masalah ini. Beliau seterusnya di rujuk kepada pakar psikitri"


Ulasan kes:

Senario seperti ini kerap berlaku. Kebanyakan pesakit dengan kes kecelaruan panik akan datang berjumpa doktor perubatan untuk pemeriksaan lanjut kerana tanda-tanda panik sama dengan penyakit lain. Pakar psikitri juga akan menjalankan ujian yang sama jika pesakit datang pertama kali berjumpa mereka. Penyakit seperti sakit jantung, hipertiroidism, pheochrmocytoma, anemia dan banyak lagi penyakit mempunyai tanda yang sama dengan tanda serangan panik. Terdapat juga ubat-ubatan dan dadah larangan yang diambil menyebabkan tanda yang sama. Setelah tiada penyebab ditemui melalui pelbagai ujian , barulah pesakit dikatakan mengalami kecelaruan panik.


Rawatan


Rawatan Kecelaruan Panik adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual. Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.
Pesakit yang mengalami kecelaruan panik jarang sekali perlu dimasukkan ke hospital .

Ubat-ubatan


Ubat antianxiety seperti lorazepam (ativan) , alprazolam ( xanax) perlu untuk menangani keresahan dan serangan panik tetapi diberi untuk tempoh yang singkat . Pesakit harus sedar ubat ini boleh menyebabkan ketagihan.


Ubat antidepressant perlu diberi dan perlu dalam jangkamasa lama . Ia bolah bertindak sebagai antianxiety dan ia tidak menyebabkan ketagihan. Jika kecelaruan panik terlalu teruk sehingga pesakit mengalami episod kemurungan ia perlu juga diberi.


Rawatan Psikososial


Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)-Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)-Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)-Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)-Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan



Psikoterapi


Behavioral therapy seperti teknik relaksasi, teknik pernafasanperlu dipraktikkan selalu


Cognitive Behavioural Therapy (CBT) telah terbukti terbaik dan efektif untuk pesakit kecelaruan panik






Wednesday, April 9, 2008










Serangan Panik (Panic Attack)




Emosi normal




Setiap individu mesti pernah mengalami situasi panik. Contohnya kita merasa panik apabila berhadapan dengan peperiksaan, panik apabila kita berhadapan dengan musuh dan sebagainya. Ini adalah emosi normal yang dipanggil serangan panik ( panic attack) yang telah dianugerahkan tuhan untuk kita lebih bersedia menghadapi sebarang masalah atau menghadapi musuh.




Semasa serangan panik terdapat perubahan fisiologi dan perubahan tingkahlaku yang berlaku secara normal akibat rangsangan sistem autonomik tubuh kita. Dia antara perubahan fisiologi yang berlaku adalah:

  1. Jantung berdenyut dengan cepat, dada semput dan sakit . berlaku kerana darah perlu dipam lebih cepat untuk membekalkan oksigen dan makanan ke organ penting seperti otot untuk pantas berlari dari sumber yang mengancam anda
  2. Tercungap-cungap dan rasa tidak cukup nafas dan tercekik kerana pernafasan yang terlalu kencang. Ini berlaku kerana lebih banyak oksigen perlu disedut.
  3. Kulit menjadi seram sejuk kerana darah dari kulit dilencong ke organ yang lebih penting
  4. Mata dan penglihatan lebih tajam untuk mengawasi ancaman luar
  5. Perasaan ingin membuang air kerana peristalsis menjadi lebih cepat dan kumuhan air kencing lebih cepat . Makanan diperlukan untuk proses penghadaman dan membekal tenaga yang cukup untuk melawan musuh.

Di antara perubahan psikologi yang berlaku adalah:

  1. Anda bersiap sedia untuk menyelamatkan diri
  2. Cuba mengelak ( avoidance) dari situasi cemas itu
  3. Ketakutan bahawa perkara buruk akan berlaku (negative thought)

Perlu diingat ia adalah ia adalah tindak balas " fight & flight reaction" yang normal. Bilakah anda dikatakan mengalami Panic Disorder dan perlu diberi rawatan? (RUJUK PANIC DISORDER)



ANXIETY DISORDER


Terdapat bermacam jenis Anxiety Disorder. Gambarajah di sebelah menunjukkan klasifikasi anxiety disorder.

Pada umumnya anxiety disorder merupakan masalah di mana pesakit merasa mudah resah, gelisah, berfikiran negatif bahawa diri tidak selamat mungkin dalam bahaya.

Thursday, April 3, 2008




Bipolar Disorder

Perubahan emosi normal berlaku setiap detik dan ketika. Mungkin pagi tadi anda marah kerana pemandu lain memotong barisan ketika anda sedang kepanasan di dalam kereta yang tiada penyaman udara. Emosi anda kembali ceria apabila anda dihadiahkan kenaikan pangkat atau jambangan bunga oleh yang tersayang. Walaupun terdapat pelbagai perubahan emosi, anda masih mampu bekerja dengan baik, menjalinkan hubungan baik dengan pasangan, anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Syabas, anda masih mempunyai kesihatan mental yang baik.

Apakah Bipolar Disorder ?

Bipolar Disorder adalah penyakit mental yang melibatkan perubahan emosi yang melampau. Bipolar atau dwikutub menggambarkan bahawa pada masa tertentu individu tersebut berada pada kutub tertentu dan pada masa yang lain ia boleh berada pada kutub bertentangan. Individu yang mengidap penyakit ini boleh berada pada suatu kutub dipanggil episod manik ( manic episode) atau ia boleh berada pada kutub bertentangan dipanggil episode kemurungan ( depressive episode) – RUJUK GAMBARAJAH.


Apakah itu episode manik?

Manik episode adalah ( RUJUK DSM IV) suatu episod dalam kehidupan anda apabila anda berterusan selama lebih seminggu atau 7 hari ( kecuali jika anda dimasukkan ke hospital) mengalami:



-Mood atau emosi melampau ( elevated and expansive mood), abnormal dan mudah marah, terasa, terasa dan resah ( irritable)
-Terlalu bangga diri dan peningkatan self esteem (grandiosity)
-Hanya memerlukan tidur yang singkat ( tidak mengantuk dan masih segar walaupun tidur kurang daripada 3 jam)
-Sentiasa bercakap banyak ( pressure of speech) lebih daripada biasa
-Mempunyai terlalu banyak idea , fikiran atau topik yang difikirkan ( flight of ideas)
-Fikiran tidak tenteram dan konsentrasi mudah terganggu ( distractability) oleh perkara remeh- temeh
-Terlalu banyak perancangan dan aktiviti yang mahu dilakukan (increase goal-directed activity)
-Terlibat dalam banyak aktiviti yang menyeronokkan walaupun ia merbahaya cth.nya melakukan hubungan seks rambang kerana nafsu meningkat, melabur atau berbelanja membeli barang mahal walaupun kesempitan wang ( spending spree)

Apabila anda diserang penyakit ini fungsi anda terjejas; anda tidak dapat mengawal diri, pekerjaan anda merosot, hubungan anda dengan orang lain juga terganggu.

(RUJUK GAMBARAJAH 2 : SENARIO PESAKIT BIPOLAR DISORDER : EPISOD MANIK)




Apakah itu episod kemurungan ?

Tanda-tanda kemurungan telah dibincangkan di ruangan kemurungan (RUJUK: KEMURUNGAN (MAJOR DEPRESSION).
Episod kemurungan yang lebih teruk dan kadar bunuh diri yang lebih tinggi boleh berlaku jika seseorang mengidap Bipolar Disorder


Kenapa Bipolar Disorder perlu rawatan?

Pesakit Bipolar Disorder perlu di rawat kerana apabila anda diserang penyakit ini fungsi anda terjejas; anda tidak dapat mengawal diri, pekerjaan anda merosot, hubungan anda dengan orang lain juga terganggu.

Perubahan emosi yang keterlaluan semasa episod manik boleh menyebabkan keburukan. contohnya :

-Pesakit memalukan diri sendiri kerana ia bercakap banyak dan merapu tanpa berhenti bercakap di khalayak ramai tanpa segan silu
-Pesakit boleh hilang pertimbangan kerana mengeluarkan wang beribu-ribu ringgit untuk berbelanja sehingga bankrupt
-Pesakit boleh melakukan hubungan seks rambang dengan pelacur, berkahwin banyak, merogol, menganiaya sesiapa sahaja kerana nafsu seks yang melonjak-lonjak.
-Pesakit boleh memulakan pertengkaran dan bergaduh kerana mudah salah faham, terasa hati dan mudah marah.
-Pesakit boleh mendapat psikosis dan mempercayai perkara karut seperti percaya bahawa dirinya tuhan, raja, penyanyi terbilang dll . Pesakit juga boleh mendapat lain-lain tanda psikosis seperti pesakit skizofrenia (RUJUK SKIZOFRENIA)
Lonjakan emosi menyebabkan hubungan dengan orang lain terganggu dan kadang-kadang melibatkan proses perundangan.




Bagaimanakah rawatan pesakit Bipolar Disorder?

Rawatan Bipolar Disorder adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual

Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.




Pesakit yang mengalami penyakit yang serius

Pesakit yang mendapat episod manik yang serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:

-merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu tidur langsung, tidak makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
-merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan

Ubat-ubatan:

-Ubat mood stabilizer perlu untuk menstabilkan mood pesakit dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik. Contoh mood stabilizer adalah Sodium valproate ( Epilim), Lithium carbonate, carbamazepine dan lamotrigine




-Ubat antipsikotik (antipsychotic) boleh juga diberi untuk menangani episode manik dan psikosis . Antipsikotik seperti Olanzapine ( zyprexa) dan Quatipine (serequel) boleh juga bertindak sebagai mood stabilizer dan diberi sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik .



-Ubat antidepressant perlu berhati-hati diberi kerana semasa episod kemurungan. Ia perlu diberi bersama mood stabilzer untuk mengelakkan ubat ini mencetus episod manik



-Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan dan agitasi tetapi diberi untuk tempoh yang singkat




-Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.




Rawatan Psikososial :

-Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
-Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
-Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
-Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
-Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan




Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian

-Supportive psychotherapy
-Cognitive Behavioural Therapy (CBT)
-Interpersonal Psychotherapy (IPT)
-Psychodynamic psychotherapy
-Family therapy
-Group Therapy




Pesakit yang mengalami episode manik yang ringan (hipomania) dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk tidak dimasukkan ke hospital tetapi rawatan mood stabilizer masih penting dan bantuan psikososial dan psikoterapi diperlukan jika bersesuian.

Untuk pengetahuan lebih lanjut sila rujuk: Malaysian Psychiatric Association ( Practice Guideline ;Management of Bipolar Disorder )

Tuesday, April 1, 2008



KEMURUNGAN
(MAJOR DEPRESSION)

Emosi

Tuhan telah menganugerahkan kita berbagai emosi ; gembira, susah hati, resah, tenang, cinta dan pelbagai lagi perasaan yang mewarnai hidup kita ini . Perasaan susah hati , gundah gulana, murung merupakan contoh emosi yang menggambarkan kesedihan.

Ia mempunyai spektrum daripada perasaan sedih yang tidak ketara kepada kesedihan yang melampau. Perasaan kita juga berubah-ubah dan berterusan dalam tempoh-tempoh tertentu. Si isteri mungkin merasa sedih selama dua atau tiga jam jika dimarahi suami dan kemudian gembira semula setelah keluar membeli-belah . Si isteri juga boleh merasa sedih sehingga berbulan-bulan jika kematian suami. Persoalannya, adakah semua perasaan sedih itu normal ?. Perlukah kita berjumpa doktor hanya kerana kita merasa sedih?.

Kemurungan (Major Depression)

Kemurungan atau depression adalah satu istilah perubatan yang menggambarkan perubahan emosi yang keterlaluan. Ia bukan lagi emosi normal tetapi suatu penyakit yang perlu dirawat.

Kenapa kemurungan perlu dirawat?

Kemurungan perlu dirawat kerana ia merupakan penyakit yang boleh merosakkan diri kita melalui pelbagai aspek. Penyakit kemurungan menyebabkan kita tidak dapat berfungsi dengan baik. Pesakit yang mengalami kemurungan tiada tenaga, tiada motivasi, sakit-sakit badan dan tidak bermaya untuk bekerja seperti biasa. Mereka akan ponteng bekerja, prestasi merosot dan menimbulkan masalah dengan majikan. Keluarga pesakit juga mendapat efek negatif kerana pesakit tidak lagi berfungsi sebagai suami , isteri atau ibubapa yang bertanggungjawab lagi Mereka tidak menjalankan tugas seharian dengan baik, hilang pertimbangan dan tiada kawalan diri.

Di peringkat yang teruk, pesakit mempunyai perasaan bersalah, tidak berguna dan akhirnya ingin membunuh diri. Psikosis juga boleh berlaku jika kemurungan tidak dirawat dengan segera.

Apakah tanda-tanda kemurungan?

Tanda-tanda utama kemurungan adalah perasaan sedih, tidak gembira atau tidak ceria yang berlarutan melebihi dua minggu. Perubahan biologi (seperti perubahan tidur, berat badan, selera makan , nafsu seks, tenaga dan sakit-sakit badan) dan perubahan kognitif ( seperti kurang tumpuan, mudah lupa, rasa bersalah, tiada keyakinan, putus harapan, rasa tidak berguna dan membunuh diri) juga boleh berlaku ( Rujuk gambarajah)


Terdapat juga pesakit yang mempunyai kemurungan atipikal. Kemurungan Atipikal ( Atypical depression) adalah kemurungan yang berlaku dengan tanda-tanda yang luar daripada biasa seperti selera makan yang bertambah (pesakit yang terlalu stress makan banyak untuk hilangkan stress), berat badan akan bertambah (kerana makan dengan banyak) dan mereka juga banyak tidur. Ini berbeza daripada kemurungan biasa di mana pesakit tiada selera makan, berat badan menurun dan susah untuk tidur.

Bagi kanak-kanak dan orang tua pula, mereka mungkin mempunyai tanda-tanda kemurungan yang tidak ketara dan sukar dikesan kerana mereka mempunyai tanda-tanda yang berbeza yang dipanggil masked depression. Bagi kanak-kanak dan remaja kemurungan sukar dikesan kerana mereka mungkin mempunyai tanda-tanda seperti masalah tingkahlaku , sakit-sakit perut, histeria sebagai presentasi kemurungan. Bagi orang tua pula, kebanyakan mereka mempunyai masalah-masalah seperti gastritis, sakit kepala, sakit sendi, mudah lupa dan pseudodementia sebagai tanda kemurungan.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat kemurungan?

Jantina: Kemurungan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih ramai wanita mengalami kemurungan berbanding lelaki . 15 - 25% kaum wanita boleh mendapat penyakit ini.

Umur: Purata pesakit berumur 40 tahun. 50% daripada mereka yang mengalami kemurungan berumur antara 20-50 tahun. Kemurungan juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan orang tua.

Taraf perkahwinan: Kemurungan lebih kerap berlaku di kalangan individu yang tiada pasangan hidup seperti duda, janda dan balu berbanding individu yang berkahwin.

Keluarga : Kemurungan adalah penyakit turun temurun. Jika anda mempunyai keluarga ( seperti ibu, bapa atau adik-beradik) yang mengalami penyakit ini, anda 2-3 kali lebih daripada orang lain untuk mendapat kemurungan

.

Apakah penyebab kemurungan?

Kemurungan disebabkan oleh interaksi faktor-faktor biopsikososial.

Di antara faktor psikososial kemurungan:

  • Masalah sosial seperti menjadi mangsa penganiayaan , penderaan fizikal atau seksual, kematian orang tersayang, putus cinta, kesempitan wang, gagal dalam pekerjaan, pelajaran dan lain-lain lagi. Masalah sosial ini mungkin telah lama dialami tetapi masih menjadi memori kepada pesakit dan boleh mencetus kemurungan.
  • Cara menyelesaikan masalah: Kemurungan lebih mudah berlaku di kalangan individu yang tidak tahu cara yang baik untuk menyelesaikan masalah. Individu yang mempunyai Coping Strategy dan problem solving technique yang betul dan produktif lebih mudah menangani masalah dan kurang risiko untuk murung.
  • Personaliti. Tiada satu personaliti tertentu yang menyebabkan individu mendapat kemurungan, tetapi terdapat individu yang mempunyai personaliti tertentu seperti terlalu obsessif ( terlalu teliti, bercita-cita tinggi dll), dependent ( bergantung kepada orang lain dan non assertive ( tidak mampu menegakkan hak sendiri) yang mudah mendapat kemurungan.

Diantara faktor biologi kemurungan:

  • Ketidakseimbangan neurotransmitter (seperti serotonin, noradrenalin, dopamin) dan reseptor ( seperti reseptor 5 HT2, ) yang penting dalan fungsi otak dan saraf
  • Ketidakseimbangan regulasi hormon seperti hormon kortisol dan tiroid
  • Patologi di otak seperti dilatasi ventrikel, patologi limbik sistem, prefrontal dan basal ganglia
  • Faktor genetik
  • Jangkitan virus di awal kelahiran atau di peringkat janin.

Bagaimana kemurungan di rawat?

Rawatan kemurungan adalah menyeluruh berdasarkan prinsip biopsikososial dan spiritual

Rawatan juga bergantung kepada keterukan (severity) penyakit ini.

Pesakit yang mengalami kemurungan serius

Pesakit yang mendapat kemurungan serius perlu dimasukkan ke hospital . Diantara tanda-tandanya:

  • merbahaya kepada diri sendiri ( cth: perasaan atau cubaan bunuh diri, tidak mahu makan dan minum sehingga kesihatan terjejas)
  • merbahaya kepada orang lain ( cth: perasaan benci keterlaluan sehingga berniat mencederakan atau membunuh orang lain)
  • mempunyai tanda-tanda psikosis yang keterlaluan

Ubat-ubatan:

  • Ubat antidepressant perlu untuk menangani kemurungan dan di beri sehingga pesakit benar-benar sembuh dan boleh berfungsi semula dengan baik
  • Ubat antianxiety perlu untuk menangani keresahan tetapi diberi untuk tempoh yang singkat
  • Ubat sleeping pill di beri jika perlu untuk memudahkan pesakit tidur dan rehat dengan cukup tetapi untuk tempoh yang singkat.

Rawatan Psikososial :

  • Berbincang cara penyelesaian masalah ( problem solving technique)
  • Berbincang cara meluahkan dan menangani kemarahan ( anger management)
  • Berbincang cara terbaik menangani stress ( stress management & coping skill)
  • Mendapat penjelasan tentang penyakit, rawatan dan komplikasi (Psychoeducation)
  • Perbincangan tentang menyelesaikan masalah kewangan dan masalah sosial lain melalui rujukan kepada agensi berkenaan

Psikoterapi ( RUJUK PSIKOTERAPI)- mengikut kesesuaian

  • Supportive psychotherapy
  • Cognitive Behavioural Therapy (CBT)
  • Interpersonal Psychotherapy (IPT)
  • Psychodynamic psychotherapy
  • Family therapy
  • Group Therapy

Pesakit yang mengalami kemurungan ringan dan mempunyai sokongan keluarga yang baik boleh memilih untuk bantuan psikososial dan psikoterapi sahaja.

Untuk pengetahuan lebih lanjut sila rujuk: Malaysian Psychiatric Association ( Practice Guideline ;Management of Major Depressive Disorder 2007)